Wednesday, February 4, 2015

Askar Jepun bersembunyi selama 30 Tahun


Onoda


BELIAU dikenali kerana sifat taat setianya berjuang untuk maharaja Jepun dan menjadi tentera terakhir yang bersembunyi di dalam sebuah hutan di Filipina walaupun Perang Dunia Kedua telah tamat. Hiroo Onoda bersama tiga lagi rakan seperjuangannya tetap mematuhi arahan pegawai atasannya selama hampir tiga dekad selepas dikerah ke Lubang pada 1944.
  
Kehidupan Awal

Onoda dilahirkan pada 19 Mac 1922 di perkampungan Kamekawa, daerah Kaiso di wilayah Wakayama, Jepun.

Beliau berasal daripada keturunan samurai dan bapanya pernah berkhidmat dalam unit tentera berkuda, namun terkorban dalam pertempuran di China pada 1943.

Ketika berusia 17 tahun, Onoda bekerja dengan syarikat perdagangan Tajima Yoko di Wuhan, China sebelum menyertai Tentera Infantri Imperial Jepun setahun kemudian.   

Dikerah ke Filipina

Onoda dilatih sebagai pegawai risikan di kelas komando Futamata sebelum dikerah ke Pulau Lubang di Filipina pada  26 Disember 1944.

Beliau diarahkan supaya menangkis serangan musuh termasuk memusnahkan landasan pesawat dan dermaga di pelabuhan di pulau tersebut.

Selain itu, beliau juga tidak dibenarkan menyerah diri dalam apa jua keadaan sekalipun.

Ketika tiba di pulau tersebut, Onoda menyertai sekumpulan tentera Jepun lain, namun beberapa pegawai dalam pasukan terbabit bertindak menghalang beliau daripada melaksanakan tugasnya.

Tindakan itu, bagaimanapun telah memudahkan misi Amerika Syarikat dan pasukan Komanwel Filipina untuk menawan pulau tersebut selepas mereka mendarat pada 28 Februari 1945.

Onoda yang telah dinaikkan pangkat sebagai leftenan bertindak mengarahkan anggotanya supaya lari bersembunyi.
 
 
Terus bersembunyi

Onoda bersama tiga anggotanya terus bersembunyi di kawasan hutan terbabit dan mereka melancarkan perang gerila selama beberapa tahun kerana masih tidak percaya peperangan telah tamat.

Kesemua mereka enggan menyerah diri walaupun telah diarahkan berbuat demikian menerusi beberapa risalah yang turut mengesahkan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada 1945.

Pada Disember 1959, Tokyo akhirnya mengisytiharkan kesemua mereka sudah meninggal dunia selepas gagal mengesan Onoda bersama tiga anggotanya.

Bagaimanapun, pada 1972, beliau terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera Filipina hingga menyebabkan rakan seperjuangannya maut, namun Onoda sekali lagi berjaya melarikan diri.
 
Serah diri selepas tiga dekad

Selepas bersembunyi selama tiga dekad, Onoda telah bertemu dengan seorang warga Jepun, Norio Suzuki yang berhasrat untuk menjejakinya pada Februari 1974.

Onoda masih enggan menyerah diri walaupun Suzuki sudah memujuknya dan menjelaskan bahawa peperangan sudah berakhir.

Beliau menegaskan hanya akan berbuat demikian jika menerima arahan daripada pegawai atasannya.

Suzuki kembali semula ke Jepun bersama beberapa keping gambar sebagai bukti dan kerajaan segera menjejaki bekas pegawainya, Mejar Yoshimi Taniguchi yang telah bersara dan menjadi penjual buku.

Taniguchi diterbangkan ke Lubang pada 9 Mac dan bertemu dengan Onoda untuk memenuhi janji yang telah dibuat pada 1944, ‘Walau apa jua berlaku, kami akan kembali mencari kamu’.

Onoda akhirnya menyerah diri dan beliau turut mendapat pengampunan daripada Presiden Filipina, Ferdinand Marcos.
 
Berhijrah ke Brazil

Beliau mendapat tumpuan banyak pihak dan namanya terus menjadi sebutan selepas Onoda kembali ke Jepun.

Pada April 1975, beliau memutuskan untuk mengikut jejak langkah abangnya yang berhijrah ke Brazil.

Onoda melangsungkan perkahwinan kira-kira setahun selepas itu dan menjadi pemimpin masyarakat Jepun di Terenos, Mato Grosso do Sul.

Bagaimanapun, beliau kembali semula ke Jepun pada 1984 susulan kes seorang remaja yang bertindak membunuh ibu bapanya dengan kejam pada 1980.

Susulan daripada kejadian menggemparkan itu, Onodoa menubuhkan kem pendidikan Onoda Shizen Juku yang dikhaskan untuk golongan remaja di beberapa lokasi di seluruh negara.


sos

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...